Wednesday, February 18, 2009

Impak kemelesetan dunia keatas kewangan perniagaan-Malaysiakini

Apakah antara impak kemelesetan dunia keatas kewangan perniagaan kita? Antara impak yang ketara selepas pengumuman Bank Negara baru-baru ini ialah penurunan kadar faedah keatas pinjaman yang boleh digunakan oleh syarikat. Saya katakan pinjaman yang boleh digunakan syarikat ialah kerana sebelum ini syarikat mungkin telah mempunyai kemudahan kredit dari bank seperti kemudahan “ Revolving Credit” atau pinjaman jangka pendek, tetapi tidak pernah digunakan.

Kadar faedah telah jatuh sehingga mencecah lebih kurang 3.5% setahun, sangat rendah hinggakan projek yang mempunyai margin keuntungan yang rendah iaitu dalam lingkungan 7% pun masih boleh mengaut keuntungan yang besar. Bagi syarikat yang tidak mempunyai kemudahan kredit, mungkin agak sukar untuk memohonnya sekarang kerana mungkin permohonan pinjaman mereka akan melalui proses penilaian yang agak ketat oleh pihak bank.

Melalui pengalaman saya 10 tahun yang lalu, ketika kita mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 1997-1998, pihak bank tempatan banyak menyokong syarikat-syarikat tempatan termasuk syarikat tempat saya bekerja dengan menyalurkan pinjaman ketika syarikat benar-benar perlukan dana. Malangnya bank-bank luar negara mengambil sikap yang cukup mengejutkan dengan menarik balik kemudahan kredit yang ada dan membatalkan pinjaman yang sedia ada. Ini bermakna syarikat terpaksa membayar balik keseluruhan pinjaman tanpa bayaran ansuran. Mengejutkan, tetapi inilah yang berlaku dulu. Tidak hairanlah saya tidak melayan tawaran menyimpan simpanan tetap di bank mereka walaupun faedah yang mereka tawarkan agak tinggi dari bank-bank tempatan.
Perlakuan mereka dahulu tidak ubah seperti menarik payung kita diwaktu hujan tatkala kita benar-benar memerlukannya.

Mujurlah boss saya mengambil sikap yang tegas dengan berkeras untuk membayar secara ansuran, kalau tidak impak terhadap aliran wang tunai ketika itu pasti terjejas dengan teruk. Selepas habis bayaran pinjaman dibuat, kami terus menutup akaun dengan mereka.
Kini kemelesetan ekonomi muncul kembali. Bagaimana dengan sikap mereka kini? Apa pulak sikap kita? Bak kata Nabil…Cuba fikirlah sendiri !!

Sunday, February 15, 2009

Kenapa syarikat untung, tapi duit tak ada - Malaysiakini

Begitu banyak terjadi kini dimana perniagaan yang maju dan untung di atas kertas , tetapi tidak berduit akhirnya. Mengapa terjadinya demikian. Apakah kehadiran Akauntan tidak dapat menjangkakan aliran wang tunai yang semakin hari semakin susut dan akhirnya terpaksa bergantung kepada pinjaman wang dari bank. Apa yang terjadi sebenarnya?

Dengan cengkaman ekonomi global yang semakin mencengkam, lebih-lebih lagilah kedudukan kewangan syarikat yang tidak menentu. Sebenarnya keuntungan syarikat adalah tidak sama dengan kedudukan aliran wang tunai syarikat. Keuntungan syarikat dicatat bila mana inbois yang dikeluarkan dari syarikat kita kepada pembeli dikeluarkan walaupun wang belum lagi diperolehi . Masaalah akan timbul jika pembeli yang kita beri kemudahan kredit tidak dapat menjelaskan hutang mereka pada waktu yang ditetapkan.

Jadi, inilah ibu kepada segala punca kelemahan sistem kewangan tunai sesuatu perniagaan walaupun banyak lagi punca-punca yang kita akan bincangkan kelak.